HARAT

May 31, 2006

Dari “penderhaka”kepada “pengganas”

Filed under: Uncategorized — harat @ 3:37 pm

Apabila Dato' Maharaja Lela di Perak dan Dato' Bahaman di Pahang bangkit menentang Inggeris pada abad ke-19 dahulu, mereka dicap oleh penjajah Inggeris dan raja-raja Melayu sebagai "penderhaka".

Hanya ahli sejarah yang kemudian mengiktiraf mereka sebagai patriot dan pejuang kemerdekaan. Mujurlah pengiktirafan ahli-ahli sejarah ini telah diterima umum.

Walau bagaimanapun, apabila PKM pula melancarkan perjuangan bersenjata menentang penjajah Inggeris pada tahun 1948, mereka dicap oleh kerajaan penjajah sebagai bandit dan pengganas.

 Malangnya cap yang diberi oleh penjajah Inggeris terhadap PKM ini telah diterima umum, kerana begitu berkesannya propaganda dan perang syaraf penjajah Inggeris.

Yang lebih malang lagi cap sebagai bandit dan pengganas yang diberi kepada PKM masih kekal sehingga hari ini.

Setakat ini agaknya hanya Mohamed Salleh Lamry, yang menulis buku Gerakan Kiri Melayu Dalam Perjuangan Kemerdekaan ( Penerbit UKM, 2005), yang tidak lagi  mengecap mereka sebagai "pengganas komunis".

Cap sebagai bandit dan pengganas  terhadap PKM ini tentu tidak betul.Bagaimana PKM yang mempunyai pasukan tentera sebanyak 12 rejimen dan  merupakan sebuah organisasi yang tersusun baik boleh dicap sebagai bandit dan pengganas?

Lagi pun, jika kita terima cap yang diberi oleh Inggeris itu bahawa PKM adalah bandit dan pengganas, maka terpaksalah kita terima bahawa Dato' Maharaja Lela dan Dato' Bahaman juga adalah bandit dan pengganas.

Cap ini tentu tidak betul dan tidak wajar, kerana Dato' Maharaja Lela dan Dato' Bahaman adalah pejuang kemerdekaan dan pembebasan seperti PKM juga.

Yang lebih tidak betul lagi jika dikatakan askar dan polis  yang berjuang  menentang tentera PKM itu adalah wira negara.

Pada hakikatnya mereka ialah orang-orang menyokong penjajah dan menjadi tali barut penjajah dan orang yang menolong penjajah  Inggeris mengekalkan penjajahannya di negara ini.

Layakkah mereka digelar wira negara?

May 30, 2006

Orang masih tak ramai ke surau

Filed under: Uncategorized — harat @ 3:04 pm

Malam ini saya ke surau. Orang masih tak ramai, tapi ada orang baru. Antaranya menantu Pak Ya dan seorang orang Tabligh (agak sahaja).

May 28, 2006

Gempa di Yogyakarta

Filed under: Uncategorized — harat @ 3:30 pm

Barangkali tidak ada siapa yang menduga bahawa gempa bumi yang agak dahsyat akan berlaku di Yogyakarta.

Alangkah kecil dan lemahnya manusia. Dan alangkah besarnya  kekuasaan Allah.

Allah-lah yang mahu tahu, dan Dia tentunya  ingin menguji kita. 

May 27, 2006

Penemuan senaskhah Playboy pun mahu disensasikan?

Filed under: Uncategorized — harat @ 12:55 am

Penemuan senaskhah majalah Playboy,  yang dikatakan diterbitkan dengan permit palsu di Tanah Merah, Kelantan,  telah dijadikan oleh BH hari ini (27 Mei 2006) sebagai berita utama, dan agaknya mahu disensasikan sebagai isu besar dan isu nasional!

Halaman rencana pengarang BH pada hari ini juga menyiarkan tajuk yang  "hebat": " Majalah Playboy jadi racun, jejas moral rakyat".

Di bahagian atas muka hadapan akhbar itu di muatkan pula  komenDatuk Noraini  Ahmad, Ketua Puteri UMNO, "Penerbit majalah ini memang tak bermoral, kerana mengeksploitasi wanita untuk mengaut keuntungan adalah perbuatan tidak senonoh".

Setiausaha Biru Agama UMNO, Datuk Othman Desa pula dilaporkan berkata, "Mereka yang menerbit, mengedar dan menjual majalah Palyboy mesti dikenakan tindakan  tegas kerana bertentangan dengan agama serta budaya."

Dari satu segi, sikap pengarang akhbar dan tokoh-tokoh itu agaknya sama sahaja dengan sikap mereka terhadap filem Lelaki Komunis Terakhir, iaitu mengeluarkan pendapat dan menghukum tanpa membaca pun majalah Playboy tersebut.

Mungkin majalah itu mengandungi   sesetengah tulisan yang boleh ditafsirkan sebagai lucah, tetapi saya fikir tidaklah lebih lucah dari bahan bacaan ( khasnya buku dan majalah tak berkala) yang  sudah lama terjual di kebanyakan kedai buku  di  bandar kecil dan sederhana di negara  kita.

Bahan bacaan lucah itu sebenarnya sudah lama, sudah bertahun-tahun, beredar dan dipasarkan di negara kita. Akan tetapi, setakat ini tidak ada sesiapa yang mempedulikannya.

 Kini, apabila ditemui senaskhah majalah Playboy, yang tahap kelucahannya pun agaknya belum dipastikan, kita mahu mensasikannya dan mahu menghebohkannya ke seluruh negara.Untuk apa?

Saya fikir ini hanya kerja orang-orang yang hipokrit,  walaupun mereka seolah-olah mahu berlagak sebagai penjaga moral bangsa!.

Untuk makluman Datuk Noraini pula, kalau beliau menengok sesetengah  majalah tempatan, seperti majalah Mangga, majalah itu pun sudah lama mengeksploit tubuh wanita untuk melariskan jualan majalah tersebut dan  untuk mengaut keuntungan.

 Jadi kalau betul prihatin sangat  terhadap moral bangsa, mengapa selama ini hanya membisu seribu bahasa?

May 26, 2006

Takutkan filem LKT macam takutkan hantu!

Filed under: Uncategorized — harat @ 7:49 am

Agaknya setelah "disihir" oleh beberapa tulisan dan berita dalam Berita Harian, ketakutan orang Malaysia (tentunya Melayu) terhadap penayangan filem Lelaki Komunis Terakhir  sudah sama seperti mereka takutkan hantu!.

 Apabila disebut sahaja perkataan komunis dan nama Chin Peng itu,  maka yang mereka lihat dalam filem itu tidak lain daripada hantu!.

 Di belakang perkataan komunis ada hantu. Di belakang nama Chin Peng ada hantu. Di mana-mana dalam itu ada hantu.

 Betapa menakutkan hantu itu — hantu komunis.

Semua orang sudah terlalu  taku —  sudah terlalu takut macam kena histeria.

  Oleh itu, haramkanlah filem itu kerana orang Melayu sudah terlalu takut kepada hantu komunis.

Walaupun faham komunis sudah lama ditolak oleh rakyat negara ini, dan negara komunis di dunia pun sekarang sudah banyak yang runtuh, tapi orang Melayu  sekarang rupanya masih terlalu takut pada komunis.

Ketakutan mereka bertambah, kerana sudah "disihir" oleh beberapa tulisan dalam Berita Harian.

Mereka takutkan hantu komunis yang sudah mati.Alangkah bodohnya mereka!

May 16, 2006

Perubahan nama tempat

Filed under: Uncategorized — harat @ 4:58 am

Dahulu, nama asal Pelabuhan Kelang ialah Kuala Kelang. Pada zaman penjajah ia berubah  nama menjadi Port Swettenham, nama seorang British Residen di Selangor. Sekarang sudah dinamakan balik Pelabuhan Kelang. Baguslah.

Dahalu nama Kelang Utara ialah Pengkalan Kampar. Saya tidak tahu kenapa nama itu dihilangkan  dan diganti dengan nama Kelang Utara.

 Adakah nama Pengkalan Kampar tidak bagus? Nama itu mungkin  ada sejarahnya, dan mungkin elok juga dikekalkan.

May 11, 2006

Pembangunan Semenyih

Filed under: Uncategorized — harat @ 4:06 am

Saya pernah tinggal di Semenyih, di Taman Desa Kenanga, antara tahun  1977 atau 1978 (?) dengan 1982.

Masa itu belum banyak taman perumahan di sekitar pekan Semenyih. Taman Desa Kenanga mungkin taman perumahan  kedua yang dibina di pekan itu.

Ketika itu pekan Semenyih belum seperti sekarang.Pekannya tidak begitu sibuk. Hendak parking kereta di mana-mana pun boleh dikatakan senang.

Akan tetapi, sekarang alangkah berubahnya pekan Semenyih. Pekan Semenyih masih merupakan pekan kecil, walaupun  beberapa buah  bangunan baru telah dibina di pekan itu. Supermarket juga sudah ada: Econsave.

Walau bagaimanapun, perubahan yang paling ketara ialah begitu banyak taman perumahan telah wujud di sekitar pekan itu.

Malah sekarang  sepanjang jalan dari Kajang hingga ke Semenyih, yang dahulunya kawasan estet getah,sudah bertukar menjadi taman perumahan.

Akibatnya pekan  Semenyih sudah sibuk dan sesak. Tapi inilah agaknya yang dikatakan pembangunan. Dan kita terpaksa menyesuaikan diri dengan keadaan yang baru.

May 10, 2006

BBB sebagai pusat perniagaan orang Melayu

Filed under: Uncategorized — harat @ 3:24 pm

Hari ini saya berjalan-jalan ke Kompleks PKNS dan ke WARTA Bandar Baru Bangi.

Kedua-dua tempat itu nampaknya sudah  jadi pusat perniagaan orang-orang Melayu. Taukehnya Melayu, dan kebanyakan juru jual pun Melayu. Baguslah.

Orang Melayu, yang sudah lama ketinggalan dalam bidang perniagaan, boleh juga berjaya jika diberi peluang, kemudahan dan dorongan.

Sebagai bandar yang terancang dan banyak mempunyai penduduk Melayu, BBB diharap akan terus menjadi pusat perniagaan orang-orang Melayu pada masa yang akan datang.

Orang Melayu sudah tersingkir daripada pekan Kajang. Mudah-mudahan BBB boleh menjadi gantinya. 

 

Mengapa Jalan Reko?

Filed under: Uncategorized — harat @ 8:19 am

Mengapa sebatang jalan dari banjar Kajang ke UKM, kira-kira 10 km di namakan Jalan Reko? Dari mana asalnya nama Reko?

Setahu saya pada masa dahulu nama Reko tidak pernah wujud; yang pernah wujud ialah Rekoh.  Rekoh telah wujud lebih dahulu sebelum ada UKM, letaknya berhampiran dengan stesen komuter UKM sekarang.

 Pada masa dahulu jalan ini menghubungkan bandar Kajang dengan Rekoh.

Jadi jalan ini patut dinamakan Jalan Rekoh, bukan Jalan Reko.

Sekarang ini saya lihat ada pula satu sungai kecil yang dinamakan Sungai Reko. Ini jelas mengulangi kesilapan yang sama.

May 9, 2006

Sate lambang bandar Kajang

Filed under: Uncategorized — harat @ 2:51 pm

Sudah lama Kajang terkenal kerana satenya. Sate barangkali boleh dianggap sebagai lambang bandar Kajang.

Kini di Kajang ada dua Medan Sate: satu di pusat bandar Kajang, dan satu lagi di Jalan Sungai Chua, berhampiran dengan bangunan Dewan Majlis Perbandaran Kajang.

Di samping itu, ada juga beberapa buah restoran yang menjual sate. Antaranya ialah restoran Haji Samuri di Bangunan Dato' Nazir.

 Perniagaan sate Kajang dimulakan oleh dua orang adik beradik, Haji Rono dan Haji Tasmin, pada tahun 1917 dahulu.

Setelah mereka meninggal dunia, perniagaan mereka diwarisi dan diteruskan oleh anak cucu mereka. Walau bagaimanapun, ada juga orang yang bukan keturunan mereka yang berniaga sate di pekan Kajang.

Salah seorang anak saudara Haji Tasmin,  Haji Samuri barangkali merupakan peniaga sate yang paling berjaya.Beliau mempunyai tidak kurang 8 tempat (restoren dan gerai) tempat berjual sate, di Kajang dan di tempat lain.

Older Posts »

Blog at WordPress.com.