Pada akhir bulan yang lalu saya menghadiri majlis kenduri kahwin anak Dr.Harun Din. Beliau mengadakan majlis kenduri kahwin itu di Dewan Bistari, UKM, dan tidak lagi di hadapan rumah beliau, sebagaimana majlis kenduri kahwin anak beliau sebelum itu. Nasib baiklah Dewan Bistari UKM itu mudah dicari dan dikunjungi.
Pada 16 November 2006 seorang jiran saya mengadakan majlis kenduri kahwin anaknya di Dewan Persidangan, Perbadanan Putrajaya. Saya tidak biasa berkunjung ke kawasan dewan itu. Jadi terpusing-pusing juga mencarinya.
Alangkah mudahnya jika beliau mengadakan majlis kenduri kahwin itu di hadapan rumah beliau sahaja. Saya boleh berjalan kaki sahaja dari rumah saya untuk menghadirinya.
Esok 24 Disember 2006 seorang lagi jiran saya, yang rumahnya dekat dengan rumah saya, akan mengadakan majlis kenduri kahwin anaknya. Beliau juga tidak mahu mengadakan majlis kenduri kahwin di hadapan rumahnya, tetapi di Restoran Seri Melayu, Kuala Lumpur.
Nampaknya status sosial seseorang memang mempengaruhi gaya hidupnya. Oleh itu, orang-orang kelas menengah yang banyak duit ini tidak mahu lagi mengadakan kenduri kahwin di hadapan rumah, kerana tempat itu tidak sesuai lagi dengan status mereka.
Mereka mengadakan majlis kenduri kahwin itu di tempat-tempat yang lebih istimewa, kerana itulah tuntutan status sosial mereka.