HARAT

April 16, 2008

Catatan lawatan ke Banua

Filed under: Uncategorized — harat @ 12:06 am

Sebenarnya saya telah menulis beberapa catatan ringkas tentang kunjungan saya ke Banua dari 10 Mac hingga 15 Mac 2008 dalam blog saya: http://kulaan-banjar.blogspot.com  Saya bercadang akan menulis catatan yang lebih panjang dalam blog saya yang lain:  http://dibanjar.blogspot.com. Bagaimanapun, saya tidak dapat melakukannya dengan serta merta, dan saya bercadang akan menulisnya secara beransur-ansur.

Berkunjung ke Banua

Filed under: Uncategorized — harat @ 12:00 am

Setelah tertangguh beberapa kali, akhirnya jadi jua saya dan isteri berkunjung ke Banua pada 10 Mac hingga 15 Mac 2008 yang lalu.

Sebagai kunjungan  kali  pertama, kami mengalami pelbagai pengalaman yang menarik dan menyeronokkan.

Terima kasih kepada semua kulaan dan kenalan yang telah memberi layanan yang sangat memuaskan kepada kami. Mudah-mudahan akan terus terjalin perhubungan persaudaraan antara kita.

Semoga berjumpa lagi. Salam dari Malaysia.

 

January 10, 2008

Masalah hendak pergi ke Banua

Filed under: Uncategorized — harat @ 3:08 am

Pada tahun yang lalu, saya telah memberitahu keluarga saya di Kalsel bahawa saya bercadang akan keBanua pada bulan November atau Disember 2007.Akan tetapi, kerana beberapa halangan saya tidak dapat berkunjung ke Banua pada masa tersebut.

Sekarang saya masih memilih masa yang sesuai untuk berkunjung ke sana.Saya rasa masa yang sesuai pada cuti sekolah, pada minggu ke dua bulan Mac nanti.

Bagaimanapun, masalah saya sekarang ialah saya masih menunggu bilakah kawan saya, seorang dosen Unlam akan datang lagi ke Malaysia, supaya saya boleh berumbai  dengannya apabila  pergi ke Banua.

Masalahnya sekarang ialah beliau belum dapat saya hubungi, sama ada melalui emel

atau melalui telefon.

Saya difahamkan beliau baru balik dari mengerjakan haji.Saya harap beliau berada dalam sihat walafiat, dan boleh menghubungi saya tidak lama lagi.

September 24, 2007

Akan berkunjung ke Banua

Filed under: Uncategorized — harat @ 8:08 am

Saya sudah berusaha mencari keluarga saya di Kalimantan Selatan sejak tahun 1989 lagi. Akan tetapi, baru tahun ini saya dapat mencari dan menghubungi mereka.

Mereka, pangkat sepupu kepada saya, begitu mengalu-ngalukan kedatangan saya ke Banua Banjar. Sayang saya belum dapat berkunjung ke sana dalam waktu terdekat ini.

Sepatutnya saya sudah berkunjung ke Banua Banjar pada bulan Jun yang lalu, bersempena dengan satu konferensi yang diadakan di Banjarmasin. Akan tetapi, ada halangannya yang menyebabkan saya tidak dapat pergi pada masa itu.

Saya berharap akan dapat berkunjung ke Banua pada bulan November atau Disember 2007 ini, insayaallah.

December 31, 2006

“Kehilangan” seorang pensyarah Banjar

Filed under: Uncategorized — harat @ 3:01 pm

Dalam beberapa tahun terakhir ini ada beberapa orang pelajar Banjar dari Kalimantan Selatan (Kalsel) di UKM yang tiba-tiba “hilang” sebelum program pascasarjana  yang mereka ikuti selesai. Mereka balik ke Kalsel tanpa memberi tahu pihak universiti dan kawan-kawan  mereka  mengapa mereka tidak meneruskan program mereka.

 Kira-kira setahun yang lalu, saya dapat berkenalan dengan seorang pensyarah  Banjar (dari Kalsel juga) yang mengikuti program Doktor  Falsafah  di UKM dalam bidang sosiologi.

 Beliau pernah datang ke rumah saya, dan kami pernah berjumpa dan berbincang tentang pelbagai perkara beberapa kali di sebuah restoran di Hentian Kajang. Di samping itu, beliau juga pernah menolong saya membelikan beberapa buah buku Indonesia.

 Ketika beliau balik ke Kalsel, biasanya kami berhubung melalui emel. Beliau pernah  merancang untuk menterjemahkan sebuah  buku saya ke bahasa Indonesia.

 Malangnya baharu-baharu ini beliau juga “menghilangkan” diri tanpa sebab yang jelas. Beliau tidak lagi membalas emel saya,dan tidak dapat juga dihubungi melalui telefon.

 Seorang pelajar pascasarjana    kenalan beliau  di USM  yang berasal dari Kalsel baharu-baharu ini  pulang ke Kalsel, dan cuba  menghubungi beliau melalui telefon. Akan tetapi, tidak berhasil juga . Apabila ditanyakan kepada orang-orang di Banjarbaru  (tempat tinggal beliau), jika ada yang mengenali beliau, nampaknya tidak ada  sesiapa yang boleh memberi maklumat  tentang diri beliau.

“Kehilangan” kenalan saya ini membingungkan saya. Saya masih menunggu beliau menghubungi saya dan membalas emel saya. Saya harap beliau tidak  memutuskan hubungan silaturahim dengan saya, walaupun mungkin beliau sedang menghadapi masalah tertentu yang  tidak saya ketahui.

December 28, 2006

PBM akan bergerak kembali

Filed under: Uncategorized — harat @ 4:17 pm

Setelah “digerakkan” oleh seorang penulis yang memakai nama samaran “Salam, PBM  dikatakan akan bergerak semula mulai tahun hadapan. Malah seorang penulis menyatakan PBM akan melakukan  reformasi.

Kita tidak dijelaskan apa yang dimaksudkan dengan reformasi, dan apa yang akan dilakukan oleh PBM secara terperinci. Namun, secara tidak rasmi penulis berkenaan membayangkan bahawa PBM telah merancangkan perkara berikut:

a) Mesyuarat Agung akan diadakan di  Sungai Besar pada 4 Mac 2007.

b) Akan mengadakan “Simposium Banjar”. Tapi tak tahu entah bila; mungkin tahun hadapan juga.

c) Akan mengadakan “Koperasi Kulaan”. Ini satu idea yang bagus. Akan tetapi, belumlah dapat dipastikan sama ada akan dapat dilaksanakan atau tidak. Lagipun ahli PBM bukannya ramai, dan belum diketahui siapa yang berminat dengan projek itu.

December 23, 2006

PBM yang lumpuh?

Filed under: Uncategorized — harat @ 3:53 pm

Tangan saya terasa gatal hendak menulis tentang Persatuan Banjar Malaysia (PBM). Akan tetapi, apakah  yang patut saya tulis?

Beberapa tahun yang lalu, ketika PBM baru ditubuhkan, kewujudannya terasa mempunyai arti yang penting. Di bawah pimpinan Sabran Alas, seorang ahli perniagaan Banjar yang berjaya, PBM begitu aktif. PBM mengadakan beberapa kali lawatan ke Banjarmasin dan jamuan di hotel dan restoran terkenal. PBM mengeluarkan buletin yang diberi nama Kayuh Baimbai secara berkala dan teratur. Sabran Alas sendiri mengadakan jamuan hari raya untuk ahli PBM di rumahnya pada tiap-tiap tahun.

Bagaimanapun, kemerosotan PBM bermula apabila  Sabran Alas jatuh sakit, dan pimpinan PBM, khasnya Yang Dipertua dan Setiausahanya bertukar tangan.

Selepas mesyuarat agung tahun 2005 khasnya, PBM boleh dikatakan tidak lagi mengadakan apa-apa aktiviti, kecuali agaknya mengadakan mesyuarat AJK. Akan tetapi, ahli-ahli tidak diberitahu apa yang dimesyuaratkan. Ahli-ahli menganggap PBM telah lumpuh.

Apabila “diusik-usik” dalam laman Ayuhak Berpandir,  seorang orang kuatnya menyatakan PBM kini dipimpin oleh seorang tokoh yang mempunyai ilmu  agama yang tinggi. PBM dikatakan bukan sahaja berpandu kepada perlembagaannya, tetapi  juga kepada hukum Islam.

Malangnya tentang “kelumpuhan” PBM sekarang, beliau tidak     menerangkan apakah  sebenarnya masalah PBM dan mengapa PBM  menjadi lumpuh.

Sementara itu, sejak dua tahun yang lalu, ahli PBM di Bandar Baru  Bangi telah mengadakan aktiviti mereka sendiri, seperti mengadakan perjumpaan di Port Dickson dan Kenduri Tahlil di Bandar Baru Bangi. Aktiviti ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan, walaupun dikatakan tidak mendapat sokongan daripada PBM (Pusat).

Persoalannya sekarang, adakah PBM akan terus “berdiam diri” atau  akan cuba mengorak langkah untuk mengatasi kelemahannya?

 PBM adalah satu-satunya persatuan orang Banjar yang boleh menyatukan orang Banjar dan mengekalkan identiti orang Banjar. Adalah malang jika persatuan ini dibatalkan pendaftarannya, kerana “kelemahan” pucuk pimpinannya atau sebab-sebab lain yang mereka sahaja mengetahuinya.

 Oleh itu, semua orang Banjar, sama ada yang telah menjadi ahli atau yang belum menjadi ahli PBM, patut mencari jalan untuk menggerakkan semula persatuan ini.

Perubahan tempat kenduri kahwin

Filed under: Uncategorized — harat @ 3:33 pm

Pada akhir bulan yang lalu saya menghadiri majlis kenduri kahwin anak Dr.Harun Din. Beliau mengadakan majlis kenduri kahwin itu di Dewan Bistari, UKM, dan tidak lagi di hadapan rumah beliau, sebagaimana majlis kenduri  kahwin anak beliau sebelum itu. Nasib baiklah Dewan Bistari UKM itu mudah dicari dan dikunjungi.

Pada 16 November 2006 seorang jiran saya mengadakan majlis kenduri kahwin anaknya di Dewan Persidangan, Perbadanan Putrajaya. Saya tidak biasa berkunjung ke kawasan dewan itu. Jadi terpusing-pusing juga  mencarinya.

Alangkah mudahnya jika beliau mengadakan majlis kenduri kahwin itu di hadapan rumah beliau sahaja. Saya boleh berjalan kaki sahaja dari rumah saya untuk menghadirinya.

 Esok 24 Disember 2006 seorang lagi jiran saya, yang rumahnya dekat dengan rumah saya, akan mengadakan majlis kenduri kahwin anaknya. Beliau juga tidak mahu mengadakan majlis kenduri kahwin di hadapan rumahnya, tetapi di Restoran Seri Melayu, Kuala Lumpur.

Nampaknya  status sosial seseorang memang mempengaruhi  gaya hidupnya. Oleh itu, orang-orang kelas menengah yang banyak duit ini tidak mahu lagi mengadakan kenduri kahwin di hadapan rumah, kerana tempat itu tidak sesuai lagi dengan status mereka.

Mereka mengadakan majlis kenduri kahwin itu di tempat-tempat yang lebih istimewa, kerana itulah tuntutan status sosial mereka.

December 21, 2006

Menulis semula

Filed under: Uncategorized — harat @ 3:58 pm

Saya akan menulis semula dalam blog ini.

November 1, 2006

Menulis semula

Filed under: Uncategorized — harat @ 3:22 pm

 Saya akan menulis semula di sini. setelah agak lama saya meninggalkan blog ini

Barangkali hal politik dan semasa akan jadi tumpuan penulisan saya.

Older Posts »

Blog at WordPress.com.