June 9, 2006
May 31, 2006
Dari “penderhaka”kepada “pengganas”
Apabila Dato' Maharaja Lela di Perak dan Dato' Bahaman di Pahang bangkit menentang Inggeris pada abad ke-19 dahulu, mereka dicap oleh penjajah Inggeris dan raja-raja Melayu sebagai "penderhaka".
Hanya ahli sejarah yang kemudian mengiktiraf mereka sebagai patriot dan pejuang kemerdekaan. Mujurlah pengiktirafan ahli-ahli sejarah ini telah diterima umum.
Walau bagaimanapun, apabila PKM pula melancarkan perjuangan bersenjata menentang penjajah Inggeris pada tahun 1948, mereka dicap oleh kerajaan penjajah sebagai bandit dan pengganas.
Malangnya cap yang diberi oleh penjajah Inggeris terhadap PKM ini telah diterima umum, kerana begitu berkesannya propaganda dan perang syaraf penjajah Inggeris.
Yang lebih malang lagi cap sebagai bandit dan pengganas yang diberi kepada PKM masih kekal sehingga hari ini.
Setakat ini agaknya hanya Mohamed Salleh Lamry, yang menulis buku Gerakan Kiri Melayu Dalam Perjuangan Kemerdekaan ( Penerbit UKM, 2005), yang tidak lagi mengecap mereka sebagai "pengganas komunis".
Cap sebagai bandit dan pengganas terhadap PKM ini tentu tidak betul.Bagaimana PKM yang mempunyai pasukan tentera sebanyak 12 rejimen dan merupakan sebuah organisasi yang tersusun baik boleh dicap sebagai bandit dan pengganas?
Lagi pun, jika kita terima cap yang diberi oleh Inggeris itu bahawa PKM adalah bandit dan pengganas, maka terpaksalah kita terima bahawa Dato' Maharaja Lela dan Dato' Bahaman juga adalah bandit dan pengganas.
Cap ini tentu tidak betul dan tidak wajar, kerana Dato' Maharaja Lela dan Dato' Bahaman adalah pejuang kemerdekaan dan pembebasan seperti PKM juga.
Yang lebih tidak betul lagi jika dikatakan askar dan polis yang berjuang menentang tentera PKM itu adalah wira negara.
Pada hakikatnya mereka ialah orang-orang menyokong penjajah dan menjadi tali barut penjajah dan orang yang menolong penjajah Inggeris mengekalkan penjajahannya di negara ini.
Layakkah mereka digelar wira negara?
May 30, 2006
Orang masih tak ramai ke surau
Malam ini saya ke surau. Orang masih tak ramai, tapi ada orang baru. Antaranya menantu Pak Ya dan seorang orang Tabligh (agak sahaja).
May 28, 2006
Gempa di Yogyakarta
Barangkali tidak ada siapa yang menduga bahawa gempa bumi yang agak dahsyat akan berlaku di Yogyakarta.
Alangkah kecil dan lemahnya manusia. Dan alangkah besarnya kekuasaan Allah.
Allah-lah yang mahu tahu, dan Dia tentunya ingin menguji kita.
May 27, 2006
Penemuan senaskhah Playboy pun mahu disensasikan?
Penemuan senaskhah majalah Playboy, yang dikatakan diterbitkan dengan permit palsu di Tanah Merah, Kelantan, telah dijadikan oleh BH hari ini (27 Mei 2006) sebagai berita utama, dan agaknya mahu disensasikan sebagai isu besar dan isu nasional!
Halaman rencana pengarang BH pada hari ini juga menyiarkan tajuk yang "hebat": " Majalah Playboy jadi racun, jejas moral rakyat".
Di bahagian atas muka hadapan akhbar itu di muatkan pula komenDatuk Noraini Ahmad, Ketua Puteri UMNO, "Penerbit majalah ini memang tak bermoral, kerana mengeksploitasi wanita untuk mengaut keuntungan adalah perbuatan tidak senonoh".
Setiausaha Biru Agama UMNO, Datuk Othman Desa pula dilaporkan berkata, "Mereka yang menerbit, mengedar dan menjual majalah Palyboy mesti dikenakan tindakan tegas kerana bertentangan dengan agama serta budaya."
Dari satu segi, sikap pengarang akhbar dan tokoh-tokoh itu agaknya sama sahaja dengan sikap mereka terhadap filem Lelaki Komunis Terakhir, iaitu mengeluarkan pendapat dan menghukum tanpa membaca pun majalah Playboy tersebut.
Mungkin majalah itu mengandungi sesetengah tulisan yang boleh ditafsirkan sebagai lucah, tetapi saya fikir tidaklah lebih lucah dari bahan bacaan ( khasnya buku dan majalah tak berkala) yang sudah lama terjual di kebanyakan kedai buku di bandar kecil dan sederhana di negara kita.
Bahan bacaan lucah itu sebenarnya sudah lama, sudah bertahun-tahun, beredar dan dipasarkan di negara kita. Akan tetapi, setakat ini tidak ada sesiapa yang mempedulikannya.
Kini, apabila ditemui senaskhah majalah Playboy, yang tahap kelucahannya pun agaknya belum dipastikan, kita mahu mensasikannya dan mahu menghebohkannya ke seluruh negara.Untuk apa?
Saya fikir ini hanya kerja orang-orang yang hipokrit, walaupun mereka seolah-olah mahu berlagak sebagai penjaga moral bangsa!.
Untuk makluman Datuk Noraini pula, kalau beliau menengok sesetengah majalah tempatan, seperti majalah Mangga, majalah itu pun sudah lama mengeksploit tubuh wanita untuk melariskan jualan majalah tersebut dan untuk mengaut keuntungan.
Jadi kalau betul prihatin sangat terhadap moral bangsa, mengapa selama ini hanya membisu seribu bahasa?
May 26, 2006
Takutkan filem LKT macam takutkan hantu!
Agaknya setelah "disihir" oleh beberapa tulisan dan berita dalam Berita Harian, ketakutan orang Malaysia (tentunya Melayu) terhadap penayangan filem Lelaki Komunis Terakhir sudah sama seperti mereka takutkan hantu!.
Apabila disebut sahaja perkataan komunis dan nama Chin Peng itu, maka yang mereka lihat dalam filem itu tidak lain daripada hantu!.
Di belakang perkataan komunis ada hantu. Di belakang nama Chin Peng ada hantu. Di mana-mana dalam itu ada hantu.
Betapa menakutkan hantu itu — hantu komunis.
Semua orang sudah terlalu taku — sudah terlalu takut macam kena histeria.
Oleh itu, haramkanlah filem itu kerana orang Melayu sudah terlalu takut kepada hantu komunis.
Walaupun faham komunis sudah lama ditolak oleh rakyat negara ini, dan negara komunis di dunia pun sekarang sudah banyak yang runtuh, tapi orang Melayu sekarang rupanya masih terlalu takut pada komunis.
Ketakutan mereka bertambah, kerana sudah "disihir" oleh beberapa tulisan dalam Berita Harian.
Mereka takutkan hantu komunis yang sudah mati.Alangkah bodohnya mereka!
May 16, 2006
Perubahan nama tempat
Dahulu, nama asal Pelabuhan Kelang ialah Kuala Kelang. Pada zaman penjajah ia berubah nama menjadi Port Swettenham, nama seorang British Residen di Selangor. Sekarang sudah dinamakan balik Pelabuhan Kelang. Baguslah.
Dahalu nama Kelang Utara ialah Pengkalan Kampar. Saya tidak tahu kenapa nama itu dihilangkan dan diganti dengan nama Kelang Utara.
Adakah nama Pengkalan Kampar tidak bagus? Nama itu mungkin ada sejarahnya, dan mungkin elok juga dikekalkan.
May 11, 2006
Pembangunan Semenyih
Saya pernah tinggal di Semenyih, di Taman Desa Kenanga, antara tahun 1977 atau 1978 (?) dengan 1982.
Masa itu belum banyak taman perumahan di sekitar pekan Semenyih. Taman Desa Kenanga mungkin taman perumahan kedua yang dibina di pekan itu.
Ketika itu pekan Semenyih belum seperti sekarang.Pekannya tidak begitu sibuk. Hendak parking kereta di mana-mana pun boleh dikatakan senang.
Akan tetapi, sekarang alangkah berubahnya pekan Semenyih. Pekan Semenyih masih merupakan pekan kecil, walaupun beberapa buah bangunan baru telah dibina di pekan itu. Supermarket juga sudah ada: Econsave.
Walau bagaimanapun, perubahan yang paling ketara ialah begitu banyak taman perumahan telah wujud di sekitar pekan itu.
Malah sekarang sepanjang jalan dari Kajang hingga ke Semenyih, yang dahulunya kawasan estet getah,sudah bertukar menjadi taman perumahan.
Akibatnya pekan Semenyih sudah sibuk dan sesak. Tapi inilah agaknya yang dikatakan pembangunan. Dan kita terpaksa menyesuaikan diri dengan keadaan yang baru.
May 10, 2006
BBB sebagai pusat perniagaan orang Melayu
Hari ini saya berjalan-jalan ke Kompleks PKNS dan ke WARTA Bandar Baru Bangi.
Kedua-dua tempat itu nampaknya sudah jadi pusat perniagaan orang-orang Melayu. Taukehnya Melayu, dan kebanyakan juru jual pun Melayu. Baguslah.
Orang Melayu, yang sudah lama ketinggalan dalam bidang perniagaan, boleh juga berjaya jika diberi peluang, kemudahan dan dorongan.
Sebagai bandar yang terancang dan banyak mempunyai penduduk Melayu, BBB diharap akan terus menjadi pusat perniagaan orang-orang Melayu pada masa yang akan datang.
Orang Melayu sudah tersingkir daripada pekan Kajang. Mudah-mudahan BBB boleh menjadi gantinya.
Mengapa Jalan Reko?
Mengapa sebatang jalan dari banjar Kajang ke UKM, kira-kira 10 km di namakan Jalan Reko? Dari mana asalnya nama Reko?
Setahu saya pada masa dahulu nama Reko tidak pernah wujud; yang pernah wujud ialah Rekoh. Rekoh telah wujud lebih dahulu sebelum ada UKM, letaknya berhampiran dengan stesen komuter UKM sekarang.
Pada masa dahulu jalan ini menghubungkan bandar Kajang dengan Rekoh.
Jadi jalan ini patut dinamakan Jalan Rekoh, bukan Jalan Reko.
Sekarang ini saya lihat ada pula satu sungai kecil yang dinamakan Sungai Reko. Ini jelas mengulangi kesilapan yang sama.